Aku bukan Hana Tajima! 1, 2, 3

BAB 1

‘Takpa. Baru bunyi. Kejap lagi bangun la tu.’

Lagu  Flight of the bumblebee memekakkan telinga. Maya pejam mata. Nafas ditarik panjang. Setiap pagi, dugaan yang sama inilah yang terpaksa dia redah. Dipaksa lidahnya menyambung kembali bacaan ayat suci surah Al-Baqarah.
 Baru saja lidahnya membaca Au’dzubillah’, deringan Flight of the bumblebee memekak lagi. Maya mencium Al-Quran dan diletakkan di atas almari sebelah katil. Sekali. Dua kali. Aku boleh bersabar lagi. Tapi.. Tujuh kali. Tak boleh jadi ni!
Dengan telekung masih tersarung, Maya berjalan laju ke bilik seberang. Langkahnya bagai nak pergi berperang. Kaki menghentak lantai kayu dengan gagahnya. Pintu bilik Hana diketuk kuat. 
“Hana! Bangun!”
 Tapi, masih tiada respon. Minah ni telinga cap kereta kebal ke apa?
“Weh Hana! Bangun la! Solat Subuh!”
Maya menjerit lagi sambil tangannya menggandakan tenaga yang dipalu ke pintu bilik Hana. Kali ni dinding rumah pun terasa gegarannya. Maya menghentak lagi kuat. Harapan, pintu Hana nak terbukak. Sebaliknya pintu bilik sebelah pulak yang terkuak. Muka serabut Jannah terpacul. Maya menjamah wajah housemate seorang ni.
“Pukul berapa sekarang?” Tanya Jannah masih separuh sedar. Mulutnya menguap besar. Sebelah mata terpisat-pisat menahan panahan cahaya lampu.
“6.35 pagi dah! Kejut si Hana ni. Takkan hari-hari nak subuh gajah!”
Nada suaranya sarkastik. Peduli apa. Pintu bilik Hana ditendang kuat. Ilmu taekwando dipraktik sepenuhnya. Maya senyum puas. Confirm, mesti minah ni celik punya. Nasib baik skru pintu tak tercabut terkena flying kick Tun Tuah Maharaja Bugis.
“Dendam asam pedas aku yang kau rembat semalam tak habis lagi he Na, ni tambah pulak dengan perangai liat nak bangun Subuh kau! Apa nak jadi ni?” Bebel Maya kuat.
Tiga saat kemudian, Hana keluar dari bilik dengan mata yang masih terpejam. Macam kena glu! Hidungnya kembang-kempis. Sniffing udara pagi subuh hari. Pandangan mata mereka berdua melekat padanya. Rasa loya membuak-buak. Maya berkerut seribu.
Serius, perempuan ni... Jannah geleng kepala.
Tahi mata berkati kat mata dan stokin Angry Bird tersarung di tangan. Rambut macam sarang burung. Sepit rambut terjuntai di hujung rambut. Tisu terjulur keluar dari lubang hidung kanannya. 
What a view.
Jannah menjilat jari dan merapikan rambut Hana dengan jarinya. Rutin harian mereka. Sesi merapikan rambut selepas bangun tidur. Hana menarik senyum. Setakat air liur Jannah, apalah sangat. Baru air liur, belum lagi hingus ke cecair lain ke.
“Thank you,” Balas Hana. Matanya masih terpejam. Hanya bibirnya mengukir senyum segaris.
“Sama-sama,” Angguk. Jannah mengenggam tangan Hana dan mereka bergerak bersama-sama ke tandas. Jannah mengambil ubat gigi dan dihulur kepada Hana.
“Thanks lagi,” Ucap Hana, mengumam.
"Hmm.."Jannah mengangguk sekali.
Maya yang dari tadi menjadi pemerhati tercengang melihat upacara membersihkan diri budak dua orang itu. Nafasnya turun-naik. Mendadak naik suhu badannya.
 Ni kalau biarkan sampai masuk waktu Zohor pun tak habis lagi sesi ‘ber-thank you’ diaorang ni.
Pintu bilik air digendang kuat.  
“Kau ingat Subuh nak tunggu kau sampai besok pagi ke!” Satu ayat daripada Maya memaksa mereka berdua bergerak sepantas kilat. Akhirnya solat Subuh secara berjemaah sempat dilaksanakan. Syukur, alhamdulillah.

BAB 2


“Morning Si Comel!”
Budin dengan senyuman pembaca beritanya. Hana membalas senyuman Budin, macam biasa, sambil helmet yang dikepit dicelah lengan kanan bertukar ke lengan kiri.
“Morning Budin!”  Matanya mendarat pada paper cup Coffee Bean di tangan kanan Budin, memberi signal.
“Ye memang Budin beli ni untuk Hana pun!”
Budin menghulur paper cup itu kepada Hana yang dah tersengih-sengih. “Terima kasih Budin. Kaulah lelaki paling budiman pernah aku jumpa!” Hana melempar senyuman lemak berkrim sambil tangannya menekan butang naik pada lif.
“Bapak Budin tu Hana!” Jeling Budin.
Hana tergelak. Lupa pulak si Budin ni bin Budiman. “Alaa kau ni Budin. Itu pun nak tersinggung. Tak cool langsung!” Hana menapak masuk ke dalam lif sejurus pintu lif terbuka. Budin mengikut dari belakang.
“Budin dah cukup cool dah belikan hot choc untuk Hana tau!” Rengus Budin masih mengomel tak habis-habis dari tadi. “Ye ye Budin yang cool. Terima kasih daun keladi. Untunglah siapa kahwin dengan Budin.” Hana masih terkekeh ketawa. Pagi-pagi lagi endorfin dah dirembes ke dalam sistemnya.
“Hana tak nak ke kahwin dengan Budin?”
Serta-merta kening anak dara itu terjungkit. Hana menoleh memandang Budin. Bab-bab kahwin ni jangan dipetik. Pantang sungguh telinganya mendengar satu perkataan itu.
“Budin, kau ni kot ye pun, romantiklah sikit. Ada ke patut lamar aku macam tu je? At least melututlah sambil hulur bunga ke, cincin diamond besar ni ke. Barulah terharu sikit. Ini setakat dalam lif. Ceh, memang ke laut la Budin.”
Bebel Hana sambil tangan kirinya digenggam dan diletak di atas tangan kanan, menayang kepada Budin fantasi lamaran dan cincin yang diimpinya. Terus mata Budin terbeliak. Wajahnya sedikit biru.
“Tak naklah Budin kahwin dengan Hana. High maintenance. Buat habis beras je!” Balas Budin sambil melangkah keluar dari lif. Tawa Hana pecah lagi.
 “Alaa Budin, janganlah macam ni. Tadi kata nak kahwin dengan aku!” Hana mengekori langkah lelaki itu.
“Tolong, Hana dah gila!” Jerit Budin sebaik saja pintu department HR dibuka. Satu pejabat memandang mereka. Ada yang melopong, ada yang tergelak, ada yang tersedak, ada yang menjerit sekali membuat background echo dan ada juga yang menjeling menyampah.
“Hei korang ni. Pagi-pagi dah buat tayangan sinetron.” Kak Mida menggeleng.Tangannya direhatkan atas dinding cubicle sambil matanya menjamah wajah Hana dan Budin bergilir-gilir.
“Budin start dulu Kak Mida. Mula-mula dia lamar Hana, lepas tu dia reject Hana pulak. Tak guna betul.” Bising Hana dengan muka penuh emosi.
“Dah demand macam-macam, siapa larat? Dahlah mintak benda-benda mengarut. Ada ke patut dia nak cincin besar penumbuk! Dia ingat pakcik Budiman tu tokeh ayam agaknya!” Laju jari telunjuknya lurus ke arah Hana yang dah ketawa mengekeh sambil memegang perut.
“Laa ye ke? Ingatkan pakcik Budiman tokeh sotong tadi!” Sakat Hana tak nak kalah. “Apa sotong-sotong? Budin ni jantan tau! Cuma kadang-kadang tu takut sikit je!” Balas Budin. Tangannya dah mencekak pinggang.
“Eh terasa pulak. Ada aku sebut nama kau ke?” Lagi menggila tawa Hana. Nama Budin dan sotong diharamkan diletakkan dalam satu ayat, mengikut kata Budin.
Budin yang dah hilang kosa kata nak membidas Hana sekadar menjelingkan mata. Lagi lama dia melayan si Hana ni, lagi menyakitkan hati. Baik menyerah kalah je. “Eleh sentap. Hati besar kuman. Apa daa.” Ejek Hana masih kental menyakat.
“Tak nak belanja Hana hot choc lagi!” Jerit Budin, menjelir lidah.
“Tak nak sudah. Tak heran pun.” Hana membuat muka sambil mengajuk Budin. Tak nak belanja hot choc konon. Percayalah, gerenti esok pagi depan elevator tu Budin dah menapak dengan hot choc di tangan. Confirm!
“Dah jangan kacau Budin! Budin nak buat kerja!” Sambil menghentak kaki, Budin berjalan laju ke bilik pantry. Nak buat milo panas.
“Ohh buat kerja kat pantry eh Budin?” Perli Hana kuat. Sengaja nak menaikkan suhu lelaki itu. “Diamlah!” Balas Budin geram.
Hana melompat bila lengan kanannya ditepuk Kak Mida. “Kau ni Hana, nakal betul! Perangai macam budak-budak. Suka nau majal si Budin tu.” Tegur Kak Mida separuh marah separuh bergurau.
“Dah tu nak majal siapa lagi? Muka Budin tu memang muka mintak kena majal. Bukan salah Hana.” Balas Hana nakal. Rasa bersalah sedikit pun tak terdetik dalam hatinya. Kak Mida menggeleng.
 “Mentang-mentang si Budin tu tak berapa keras. Kau buli je dia.”
Terus mulut Hana melopong. Jari telunjuknya digoyang-goyang. “Haaa haaa Kak Mida kata Budin lembut. Cakap kat Budin. Habislah akak.” Kali ni giliran Kak Mida pulak disakatnya.
Pinggang Hana dicucuk. “Aku pun kau nak menyakat!” Ketawa terlepas dari mulut Hana. “Dahlah, daripada akak melayan kau, baik akak join Budin buat air milo.” Kak Mida dah malas nak melayan Hana. Sebelum pergi, sempat dia menepuk lengan gadis nakal itu.
“Kak Mida! Mai secawan!” Jerit Hana, mengundang tawa satu department.

BAB 3

Hana sedang duduk bersila di atas meja pantry sambil meniup-niup mug apabila Kak Mida masuk dengan muka yang serabut. “Ni apasal muka macam tak kentut seminggu ni Kak Mida?”
Senyuman senget dilempar Hana bila Kak Mida mencubit pehanya. “Kau takda kerja ke dok melepak kat pantry ni?” Tanya Kak Mida berbasi. Dia menyandar pada sinki.
“Sebab ada kerjalah Hana lepak kat pantry ni. Laparlah. Apa-apahal perut kena isi dulu. Ni akak ni apasal ? Ceritalah. Kalau tak nak cerita mesej, mesej.” Hana menghulurkan handphonenya. Kak Mida tergelak kecil. Kepala digeleng-geleng.
 “Ada je kau ni.”
Hana tersenyum bila muka Kak Mida mula nampak serinya. “Kenapa?” Kening dijungkit. Akhirnya Kak Mida melepaskan satu keluhan berat.
“Hana tahu kan anak Mr. Takahashi nak datang Malaysia?” Kak Mida menarik kerusi dan duduk.Tubuhnya menghadap Hana yang masih meniup mug yang melekat di tangannya.  
Gadis itu mengangguk. “Hana dengar Powerpuff girls bercerita.”

Kak Mida tersenyum. Powerpuff girls, panggilan khas untuk Joy, Rin dan Pinat. Tiga sekawan. Tak kira masa, tak kira tempat, mereka mesti bertiga. Baik buat kerja, bergosip, makan, tidur, mereka tetap bertiga. Itu sebab satu syarikat panggil mereka The Powerpuff girls. Sekali mereka buat gosip, sekelip mata, satu pejabat kecoh. Orang lagi percaya cakap mereka dari baca Harian Metro.
“Diaorang cakap anak Mr. Takahashi tu nak take over tempat bapak dia. Macam tu la. Lepas tu diaorang cakap anak dia hensem la, kaya la, macam Brad Pitt la. Heboh.” Tambah Hana masih teringat aksi joyah Joy, Rin dan Pinat. Dahsyat.
Kak Mida mengangguk. “So apa kena mengena anak dia dengan akak pulak?” Hana menghirup sedikit air milo panas yang dah ditiupnya sejak sepuluh minit yang lalu. Matanya melekat pada wajah Kak Mida.
“Akak kena jadi assistant anak dia. Kena inform semua pasal company ni, latest update, lepas tu kena tunjuk dia tempat-tempat kat Malaysia, jaga dia, semualah.” Cerita Kak Mida.
Hana terangguk-angguk. Air milo terus dihirupnya. “Ohh, kira akak macam kena babysit anak dia la eh. Okay, so apa masalahnya? Jadi jela babysitter anak dia.” Balas Hana acuh tak acuh. Dia tak nampak apa masalah Kak Mida.
“Masalahnya, akak ni mengandung Hana oi. Bila-bila je boleh keluar budak ni. Akak tak larat nak terkejar sana sini Hana. Lagipun, esokkan cuti raya Haji. Akak kena balik Kedah. Laki akak nak balik kampung. Memang akak tak dapat nak jadi assisstant anak Mr. Takahashi tu, Hana.”
Tangan wanita berusia pertengahan 30-an itu mengusap perutnya yang semakin membusung, membentuk bulatan. Hana memandang Kak Mida yang semakin runsing. Seolah-olah terdapat awan gelap bersama ribut petir di atas kepala Kak Mida. “Suruh je Budin tolong akak.” Automatik nama Budin dipetiknya. Siapa lagi orang yang mampu buat kerja-kerja macam ni kalau bukan mamat separuh tu?
“Dah. Akak dah tanya dia. Kebetulan dia join team R&D untuk projek mega A tu. So memang tengah pack sangat jadual dia. Dia siap tunjuk diari dia kat akak. Memang penuh. Kesian pulak kalau nak paksa dia. Eh Hana tak tahu ke pasal ni?” Kak Mida bertanya pelik. Hana dari department R&D, mustahil dia tak tahu tentang serapan masuk sementara Budin ke department itu.
“A’ah. Lupa pulak. Actually Hana yang cadang nama dia masuk team kitaorang.” Balas Hana sambil menggaru-garu telinga, satu habit bila dia malu. Kak Mida menarik muka. Mengalahkan orang tua budak ni. Semedang lupanya.
“So, akak nak buat apa sekarang?” Tanya Hana.
“Ni yang akak nak cakap ni. Akak nak mintak Hana..” Belum pun sempat habis ayatnya, Hana dah geleng laju. Kedua tangannya digoyang-goyang mengipas udara. “Akak, Hana pun nak balik raya! Lembu Hana dah sedia nak kena sembelih dah kat kampung tu.” Balas Hana laju.
“Hana, tolonglah akak. Hana je yang boleh tolong akak sekarang ni. Nak harapkan orang lain, takda siapa lagi. Pleasee,” Rayu Kak Mida. Wajahnya penuh mengharap.
“Akak, akak ni lupa ke yang Hana pun team R&D jugak. Macam Budin. Akak nak tengok diari Hana pulak? Lagi penuh. Takda ruang nak tulis dah pun.” Hana cuba menerangkan kesibukan jadualnya kepada Kak Mida. Bukan dia tak nak tolong, tapi masalah dia sendiri pun dia tak terselesai, inikan pulak nak selesaikan masalah orang lain.
“Hana kan ketua team R&D. Lagipun, Hana orang lama kat situ. Tak banyak kerja sangat macam si Budin tu. Tolonglah akak Hana. Kali ni je. Akak janji. Ni last. Pleasee, Hana, please.” Tangan Hana dipegang erat.
Hana menjeling Kak Mida. Ingat ketua team tak banyak kerja ke? Banyak tau! Bertingkat tau! “Akak ni. Yelah, yelah, Hana tolonglah. Tapi ni last tau. Lepas ni Hana dah tak boleh tolong akak.” Akhirnya dia terpaksa bersetuju. Dah tak sanggup nak tengok muka sekonyot Kak Mida tu. Boleh hilang selera makan seminggu.
“Oh Hana, akak sayang kau. Kau memang baik Na. Thank you!” Dahi Hana dicium lama. Hana menolak Kak Mida. “Tumpah milo ni kat baju Zalora akak tu nanti, menangis 2 bulan.”
Kak Mida tergelak kecil. “Thanks Hana. Allah je yang mampu balas jasa kau.” Kak Mida belum habis dengan sesi berterima kasihnya. “Ye ye, aamiin. So kak, mana port folio projeck babysitting kita ni?”
“Nanti akak bagi Hana fail akak. Dalam fail tu ada semua yang patut Hana buat sepanjang jadi assisstant anak Mr. Takahashi tu. So don’t worry la okay.” Tangan kanan Hana digenggam erat.
“Okay cool. Bila dia sampai Malaysia?” Tanya Hana. Air milo dihirupnya lagi.
“Esok.”
Dan, muka Kak Mida disembur dengan air milo.
***
                         

  MeSays: Berdebar-debar nak upload cerita ni. mula-mula cerita diupload kt penulisan2u.com, tapi disebabkan saya punya ilmu IT yang tak berapa nak penuh di dada, I have no idea how to upload the next chapter kat website tu. so I make use of my long-time-no-update blog ni, trying to see apa pandangan readers semua. excited tapi nervous gila.waaaa..

have fun reading this. (watak2 di atas tidak ada kena mengena dengan yang hidup mahupun yang dah meninggal dunia..rekaan semata. ;)

-RoseBud



Comments

Popular Posts